}

.

3 Rejimen Askar Melayu DiRaja Kem Lokkawi 88200 Kota Kinabalu Sabah

Wednesday 17 October 2012

LATIHAN KEKAR MALINDO DI KOTA BELUD

SUASANA perbukitan di Tapak Tembak 6 di Kota Belud, Sabah pada pagi itu amat indah. Di utara, Laut China Selatan terhampar kebiruan mendamaikan pandangan, sedangkan di selatannya megah berdiri Kinabalu diselaputi awan putih bersih. Dentuman senjata jenis Carl Gustav membuatkan keheningan pagi itu itu semakin bingit. Bola api deras meluncur ke arah sasaran yang terletak beberapa kilometer nun di atas bukit dan sasaran itu meledak, lalu angin menyebarkan bau bahan api ke udara. Malahan beberapa jenis senjata bantuan seperti HMG, LMG, AGL, mortar dan beberapa jenis lagi telah dipertontonkan kemampuannya dalam menembak sasaran yang jauh. Sebelum tembakan daripada senjata-senjata bantuan itu, demonstrasi pada pagi itu dimulai oleh kumpulan penembak tepat 3 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD). Di khemah kenamaan yang agak tinggi berhampiran tembakan itu berasal, Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin bersama isterinya Toh Puan Norlidah RM Jasni beserta rombongan sedang menyaksikan demonstrasi itu. Turut berada di lokasi ialah Panglima Briged Kelima Infantri Malaysia, Brigedier Jeneral Datuk Abdul Halim Abdul Jalal bersama dengan pegawai-pegawai tertinggi tentera yang lain. Sebelum acara di Tapak Tembak 6 berakhir, Tun Juhar dipelawa untuk mencuba sendiri senjata-senjata bantuan itu antaranya senjata AGL (Automatic Gun Launcher) dari G-wagon sambil dibantu oleh Abdul Halim. Beliau begitu tenang melepaskan tembakan dari atas kenderaan tersebut dan berhasil mengenai sasaran walaupun dilihat agak payah bagi mereka yang kurang latihan dalam bidang ketenteraan. Program tersebut merupakan Demonstrasi Tembakan Senjata Bantuan dan Persendirian Bersama Juhar yang mempamerkan pelbagai jenis senjata berat dari Batalion 3 RAMD yang berpangkalan di Lok Kawi. Menurut Abdul Halim, latihan tersebut membabitkan RAMD dan dibantu oleh pasukan 507 Askar Wataniah itu mempamerkan tembakan seksyen, tembakan platun dan tembakan senjata bantuan. Katanya, antara tujuan aktiviti tersebut dianjurkan ialah untuk mengeratkan hubungan antara pemimpin, terutamanya Juhar dengan angkatan tentera dan berharap beliau dapat melihat sendiri kehidupan dan latihan di kawasan latihan khususnya di daerah ini. "Bukan itu sahaja, kita turut memperlihatkan bahawa kita terus menerus berlatih untuk menghadapi sebarang kemungkinan dan bukan duduk di kem sahaja untuk menunggu arahan," tegasnya. Program tersebut merupakan antara tugas terakhir Abdul Halim sebagai Panglima Briged Kelima Infantri Malaysia yang berpangkalan di Lok Kawi sebelum berpindah Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur, sebagai Pengarah Pengurusan Latihan di Markas Latihan Tentera Darat. Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Polis_%26_Tentera/20120822/te_01/Serangan-di-Kota-Belud#ixzz29ammkT37 © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Click Here To add Comment

Post a Comment

Blogger Widgets